“Menghargai Suara Guru”

Tarikh 5 Oktober adalah hari istimewa bagi para guru di seluruh dunia. Pada hari ini peranan penting guru
dalam menggalas pendidikan di serata dunia diiktiraf dan diraikan oleh UNESCO serta badan gabungannya Educational International (EI). EI ialah pertubuhan yang memayungi 383 organisasi mewakili lebih 32 juta guru dan kakitangan sokongan pendidikan di 178 negara dan jajahan. Sambutan Hari Guru Sedunia tahun ini (WTD2024) bertumpu kepada tema “Menghargai Suara Guru: Ke Arah Kontrak Sosial Baharu bagi Pendidikan”. Sambutan WTD2024 menekankan peranan utama guru dalam menentukan masa depan pendidikan dan keperluan mendesak untuk mengambil kira pandangan mereka dalam proses penggubalan dasar dan pembuatan keputusan pendidikan.

Suara guru adalah suatu bentuk ungkapan padu yang menunjukkan kaitan antara kepercayaan guru dalam naratif pendidikan dan kemudiannya dizahirkan dalam bentuk tindakan mereka terutamanya semasa proses pengajaran pembelajaran di bilik darjah. Terdapat dua jenis suara guru yang biasanya boleh dikenal pasti dalam profesion perguruan. Refleksi tentang tindakan adalah bilamana guru menggunakan pengetahuan profesional terkumpul yang dipelajarinya semasa mengikuti program pra-perkhidmatan dan program dalam perkhidmatan serta pengalaman bertahun-tahun dalam kerjaya perguruan semasa menyuarakan kepercayaan mereka tentang pendidikan. Refleksi dalam tindakan pula adalah bilamana guru menggunakan pengetahuan profesional dan pengalaman terkumpul mereka secara sepontan apabila mereka berhadapan dengan sesuatu tugas pendidikan.


Tuntasnya, kedua-dua refleksi tentang dan dalam tindakan guru serta saling kait tindakan antara keduanya adalah suara padu kepercayaan guru yang bermakna yang perlu dihargai. Suara padu guru menentukan apa dan bagaimana pendidikan sepatutnya dilaksanakan. Justeru adalah penting untuk mengambil kira suara guru dan mengabung jalinkannya dalam penggubalan dasar dan proses pembuatan keputusan pendidikan. Mengabaikan suara guru akan hanya merencat peluang untuk mempunyai pendidikan berkualiti. Tidak kira betapa bagusnya inovasi pendidikan yang dicanangkan dan tidak kira kecukupan serta kecanggihan sistem sokongannya, guru tetap mempunyai kata putus tentang apa yang sepatutnya diajar dan apa yang harus pelajar belajar.


Dalam konteks Malaysia, perkataan guru, ustaz, pensyarah, ahli akademik dan pendidik sering digunakan
bertukar ganti bagi merujuk kepada individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar di sekolah, pondok dan madrasah atau di institusi pendidikan tinggi, sama ada di bawah seliaan kerajaan atau swasta. Secara khusus, institusi pendidikan di Malaysia merujuk kepada prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta institusi pendidikan tinggi termasuk institusi yang menawarkan program matrikulasi, latihan guru, kolej, politeknik dan universiti. Setakat September 2024, dianggarkan di Malaysia terdapat 414,800 guru dengan 5,123,353 pelajar di 10,235 sekolah rendah dan menengah kerajaan (www.moe.gov.my) dan 58,343 kakitangan akademik dengan 799,370 pelajar di 532 institusi pendidikan tinggi (www.mohe.gov.my).


Pada Hari Guru Sedunia 2024 yang istimewa ini, Persatuan Pendidikan Malaysia (PERPEMA) sekali lagi
menyeru semua pihak yang prihatin tentang pendidikan dan pihak berkepentingan terutamanya yang terlibat dengan penggubalan dasar di semua peringkat pendidikan untuk menghargai dan mengambil berat suara guru. PERPEMA sebagai pertubuhan profesional pendidikan ulung yang ditubuhkan pada 5 Januari 1968 hasil resolusi Kongres Pendidikan Kebangsan Pertama juga menyeru agar suara guru diambil kira dalam proses penggubalan dasar dan pembuatan keputusan pendidikan.


Selamat Hari Guru Sedunia 2024!


Mohd. Majid Konting
Presiden PERPEMA

Leave a Reply